Wednesday, March 19, 2008

Bijak Menguruskan Perubahan

*Oleh Ir. Ahmad Jais Alias* KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) --Tsunami Politik yang dikatakan melanda kancah politik negara, akibat keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 yang baru berlalu, masih meletakkan banyak pihak di dalam kecelaruan fikiran, perasaan dan tindakan. Tidak kurang juga yang terganggu tidurnya, hilang selera makan atau termangu tanpa sebarang arah tujuan dalam beberapa hari yang berlalu. Fenomena ini bukan sahaja dirasai oleh para pemimpin politik malah turut memberi kesan kepada masyarakat umumnya. Sekiranya itulah keadaaan yang berlaku, maka istilah Tsunami Politik memang sesuai digunakan untuk menggambarkan keadaan yang berlaku. Namun, tidak semua orang menjadi tidak menentu atau celaru selepas pilihan raya umum, kerana hampir separuh daripada pengundi, yang telah memberi undi kepada gabungan parti pembangkang, telah menyambutnya dengan perasaan kemenangan dan puashati. Wajah-wajah ceria yang saya temui di pelbagai tempat, tidak menggambarkan istilah Tsunami Politik ini secara tepat. *TSUNAMI POLITIK* Oleh itu, penggunaan istilah Tsunami Politik ini seolah-olah hanya sesuai digunakan kepada pihak yang tewas dan kehilangan kerusi dan kerajaan selepas pilihan raya umum yang lalu. Sememangnya itulah yang sebenarnya, kerana semasa peristiwa Tsunami yang melanda Aceh dan juga sebahagian Pulau Pinang dan Kedah pada Disember 2004, gelombang tersebut meninggalkan kenangan pahit, lantaran kehilangan nyawa dan harta yang diakibatkan olehnya. Tsunami Politik kali ini nampaknya mengorbankan tidak sedikit nyawa dan harta politik. Beberapa orang Menteri dan Timbalan Menteri Pusat telah kehilangan kerusi (dan mungkin juga jawatan) mereka. Manakala beberapa negeri telah beralih kepada gabungan parti pembangkang. Namun kejutan di pihak yang merasai kehilangan oleh Tsunami ini, menjadi satu yang menggembirakan dan diraikan di pihak yang meraih kemenangan. Bagi mereka, gelombang Tsunami yang membadai pantai Pulau Pinang dan Kedah empat tahun lalu, seolah-olah menjadi arus yang melorongkan kemenangan besar mereka pada kali ini. Bagaimana seharusnya kita menanggapi perubahan yang sedang berlaku ini *BIJAK URUS PERUBAHAN* Rakyat secara umumnya, harus bijak menerima dan menguruskan perubahan yang sedang dan akan berlaku, hasil daripada pilihanraya yang baru berlalu. Dengan kebijaksanaan ini, maka rakyat akan dapat mengawal keadaaan, tidak menjadi mangsa hasutan pihak-pihak tertentu yang cuba menangguk di air keruh dan seterusnya memainkan peranan positif demi kebaikan negara dan negeri yang mereka diami. Pertama, rakyat perlu bijak mentakrifkan semula erti istilah pemerintah dan pembangkang. Ini penting kerana cubaan mentakrifkan Barisan Nasional sebagai pemerintah dan parti-parti lain sebagai pembangkang sudah menjadi tidak berasas lagi. "Kini kita sudah ada lima buah kerajaan pembangkang". Ini salah satu contoh penggunaan istilah yang sangat mengelirukan. Bagaimana boleh kita katakan kerajaan pembangkang, sedangkan tugas kerajaan dan pembangkang adalah saling berlawanan. Penggunaan yang lebih tepat adalah seharusnya seperti berikut; Selepas Pilihan Raya Umum ke-12, Kerajaan Barisan Nasional (BN) telah memerintah di peringkat pusat sekali lagi, manakala Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Selangor mendapat kerajaan campuran DAP, PKR dan PAS, dan Kelantan kekal diterajui oleh Kerajaan PAS. *ELAK KEKELIRUAN* Kenyataan seperti ini akan dapat mengelakkan kekeliruan, kerana di negeri-negeri tersebut, BN akan memainkan peranan sebagai pembangkang. Perkara kedua yang memerlukan kebijaksanaan rakyat, adalah kesediaan untuk menerima dan menguruskan perubahan. Rakyat perlu dijelaskan bahawa perubahan adalah suatu yang pasti dan akan terus berlaku di dalam kehidupan. Cuma yang berbeza adalah tahap perubahan tersebut. Keputusan pilihanraya kali ini, menuntut kita semua menerima tahap perubahan yang lebih besar, yang semestinya menuntut kita memiliki jiwa yang besar jua. Seseorang yang kerdil dan lemah jiwanya, akan mudah tewas dengan perasaan dan tekanan, lantas melahirkan tindakan dan tindakbalas yang tidak matang atau keanak-anakan. Seorang tokoh politk yang berjiwa besar, perlu berani menerima kenyataan, mengakui keputusan yang tidak meletakkan mereka sebagai pemenang, dan mengalu-alukan kejayaan pihak lawan. Bukankah kita sering diajar mengenai semangat kesukanan ini sejak di bangku sekolah lagi Pihak yang menang juga perlu bijak meraikan kemenangan, kerana mereka perlu sedar dan ingat, di sebalik keceriaan mereka menyambut kemenangan, ada wajah-wajah yang sugul dan terkejut. Usah ditambah kepiluan mereka yang tewas ini, dengan sorak-sorai yang menambahkan luka, demi menjaga hati semua pihak. Begitu juga, cubaan untuk menuding jari atau meletakkan kesalahan kepada mana-mana individu sebagai penyebab kekalahan perlu dielakkan. Kini masanya untuk semua rakyat, tanpa mengira parti yang telah mereka undi, menguruskan perubahan ini secara bijaksana. Rakyat juga perlu menasihatkan pemimpin yang telah mereka pilih, agar mentadbir dan menguruskan pemerintahan negara dan negeri secara bijaksana. Semua ini terkandung di dalam pengertian amanah dan tanggungjawab kepimpinan itu sendiri. Selamat Bertugas, YB! /Penulis ialah Fellow Pusat Perundingan dan Latihan IKIM (PPLI) Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

No comments:

..::disclaimer::..
website ni bukan official website mrsm taiping... mau carik official punya, http://www.mrsmkm.edu.my/taiping/. segala isi kandungan dalam blog ni tak mewakili mrsm taiping dan MARA. Untuk cari Ansara Cawangan Taiping, bleh p ke http://www.actorg.net. Kat ACTorg.net, webmaster dia Abg Damit.... website ni utk geng2 mrsm taiping batch 9495 lay-park, borak2, merapu, meroyan, melalak.

jemput tengok dan tengok lagi.. kalau tak puas jugak bleh la tinggal message ka, letak comment ka... mau Lagi??? email la sama wa kat taiping9495 at gmail dot com.

terima kasih kat sapa2 yg tolong website ni secara jualan langsung atau black market....

article yg ada dlm ni adalah hakcipta blog ni kecuali ada dinyatakan dicilok dari sumber2 tertentu... segala komen yg dibuat dalam blog ni takde langsung mewakili blog nih.. komen2 tu adalah hak dan rekacipta org yg tulis komen tu... ada paham? webmaster ada hak utk meng'edit', meng'keluar'kan mana2 post yg dirasakan tidak sesuai