Monday, October 01, 2007

Realitinya....

Apa yang telah berlaku kepada Nurin Jazlin Jazimin merupakan satu peristiwa yang telah mendapat perhatian seluruh negara. Kesakitan dan penderitaan yang dialami oleh kanak-kanak yang hanya berumur 8 tahun ini tidak dapat dibayangkan. Begitu juga dengan trauma yang terpaksa dihadapi oleh ibubapa, adik beradik dan keluarga arwah Nurin Jazlin, berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Sedarkah kita bahawa kejadian culik, rogol dan bunuh ini bukanlah perkara yang baru tetapi sebelum ini ada beberapa kes lagi. Kebanyakan kes-kes ini melibatkan remaja dan kanak-kanak. Pada 18 Mei 1999 Audrey Melissa Bathinathan, 17 tahun telah dijumpai berhampiran Sekolah Perempuan Methodist Kuala Lumpur, tempat beliau belajar. Hasil bedah siasat mendapati mangsa telah dipukul di kepala, dirogol dan dijerut lehernya. Noor Suzaily Mukhtar, 24 tahun telah ditemui di Taman Bukit Tinggi pada 7 Oktober 2000 Klang. Mangsa telah dirogol dan bunuh dalam sebuah bas ekspres dan mayatnya dicampak di sebuah jalan di kawasan pembinaan Taman Bukit Tinggi, Klang. Pada 23 Oktober 2000 Nor Shuhada Borak, 6 tahun ditemui mati dalam tangki air di bumbung bangunan kediaman tiga tingkat jenis townhouse di Selayang dalam keadaan separuh bogel dan lebam pada muka dan tangan. Mangsa dipercayai telah dirogol sebelum dibunuh. Gadis berusia 17 tahun, Farrah Deeba Rustam dirogol dan dibunuh di bawah jambatan jalan masuk ke Kampung Tersusun Batu 2, Jalan Lama Bidor-Tapah pada 14 Februari 2001. Mangsa mati akibat dijerut dengan menggunakan tali. Nurul Hanis Kamil telah dibunuh dalam semak selepas pulang dari sekolah di Serkam Darat, Merlimau, Melaka pada 3 Julai 2001. Sementara itu seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dirogol dan diliwat sehingga terkeluar usus oleh dua remaja berusia 19 tahun tahun ketika merompak keluarga mangsa di rumahnya di Taman Bukit Maluri, Kepong pada 13 Ogos 2001. Norshakila Ramli Choo, 6 tahun telah dirogol sebelum dibunuh di Taman Tasik Permai Ampang pada 1 April 2002. Seorang pelajar sekolah menengah telah ditolak dari atas jejantas, ditendang dan dicekik sebelum dirogol di bawah jejantas Jalan Reko, Kajang antara jam 2.35 petang dan 4.00 petang pada 8 Oktober 2002. Mangsa mengalami patah tulang belakang dan nyaris meninggal dunia. Kaki dan tangan mangsa juga diikat ke belakang dan badannya ditutup dengan plastik hitam, mulut disumbat dengan stokin dan diikat dengan sapu tangan sebelum ditinggalkan. Pada 6 November 2002 Siti Nurliyana Shamimi Rosdi seorang kanak-kanak berumur dua tahun telah diculik, dirogol dan dibunuh, dijumpai dalam keadaan bogel di tebing Sungai Kedah, kira-kira 500 meter dari rumahnya di Kampung Seberang Terus. Hasil bedah siasat mendapati ada kesan koyak pada kemaluan mangsa, selain lebih 40 kesan luka pada badan. Mangsa juga mengalami pendarahan dalam otak dipercayai akibat dipukul dengan benda keras. Noritta Samsudin berumur 22 tahun telah dijumpai mati di Kondominium Puncak Prima Galleria, Sri Hartamas, Kuala Lumpur pada 5 Disember 2003. Mangsa dikatakan telah dirogol sebelum dibunuh. Pada 13 Jun 2003 Canny Ong lay Kian telah dilarikan dari tempat letak kereta Bangsar Shopping Center. Mayat mangsa ditemui separuh rentung di dalam sebuah longkang di tepi Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur. Kanak-kanak berusia 10 tahun, Hasirawati Saridi ditemui mati dipercayai dibunuh dan dirogol ketika dalam perjalanan ke sekolah di Kampung Ratau, Menggatal, Kota Kinabalu, Sabah pada 8 Januari 2004. Pada 17 Januari 2004 seorang kanak-kanak berusia 10 tahun, Nurul Huda Abdul Ghani telah dirogol, diliwat sebelum dibunuh di pondok pengawal stesen pencawang Tenaga Nasional Berhad Kampung Pekajang, Gelang Patah, Johor. Mayatnya ditemui berbogel tersandar pada dinding tandas pondok pengawal tersebut dalam keadaan mencangkung. Mazny Abdullah dari Junjung, Bukit Mertajam, Pulau Pinang telah dibunuh pada 23 November 2004. Siti Syazwani Ahmad Dusuki, 9 tahun telah dibunuh selepas dirogol di Taman Rhu pada 22 Disember 2004. Masih ingatkah lagi kita kepada apa yang telah berlaku kepada mereka ini? Bila membaca kisah Nurin Jazlin ramai yang merasa sedih dan hiba malah ada juga yang terkejut dan marah. Kita merasa perkara yang sama bila kejadian sebelum Nurin Jazlin berlaku tapi selepas itu kita lupa. Sudah tiba masanya sesuatu dilakukan untuk mencegah daripada berulangnya kes-kes seumpama ini. Ketika ini ramai yang bercakap dan memberi pelbagai cadangan selepas apa yang berlaku pada Nurin Jazlin. Persoalannya bilakah pandangan dan cadangan ini boleh dilaksanakan? Bila pula kita sendiri akan mengambil tindakan untuk mengubah keadaan ini? Adakah kita hendak menunggu Siapa Selepas Nurin Jazlin baru ada kesedaran?

1 comment:

Anonymous said...

Apale nak jadi dgn malaysia skrg ni?!! Dahle negara Islam, and negara melayu, yang kononnya terkenal dgn perangai lemah lembut dan bersopan santun, tapi benda2 mcm ni tak habis2 berlaku. Aku, as a mother, geram and sedih sangat2 bila dgr cite2 mcm ni. Seingat aku, masa aku kecik2 dulu, aku selamba je sgi kedai runcit sorang2, siang ke mlm ke, beli brg rumah, naik basikal, sikit pun tak terasa takut or terfikir benda2 buruk akan berlaku. Tapi, skrg ni, aku nak bagi anak aku main depan rumah sorang2 pun kena fikir byk kali...e

..::disclaimer::..
website ni bukan official website mrsm taiping... mau carik official punya, http://www.mrsmkm.edu.my/taiping/. segala isi kandungan dalam blog ni tak mewakili mrsm taiping dan MARA. Untuk cari Ansara Cawangan Taiping, bleh p ke http://www.actorg.net. Kat ACTorg.net, webmaster dia Abg Damit.... website ni utk geng2 mrsm taiping batch 9495 lay-park, borak2, merapu, meroyan, melalak.

jemput tengok dan tengok lagi.. kalau tak puas jugak bleh la tinggal message ka, letak comment ka... mau Lagi??? email la sama wa kat taiping9495 at gmail dot com.

terima kasih kat sapa2 yg tolong website ni secara jualan langsung atau black market....

article yg ada dlm ni adalah hakcipta blog ni kecuali ada dinyatakan dicilok dari sumber2 tertentu... segala komen yg dibuat dalam blog ni takde langsung mewakili blog nih.. komen2 tu adalah hak dan rekacipta org yg tulis komen tu... ada paham? webmaster ada hak utk meng'edit', meng'keluar'kan mana2 post yg dirasakan tidak sesuai