Mangsa Gempabumi di Sumatera Perlukan Bantuan
Di kemaskini pada Selasa, 25/09/2007Telah 2 minggu berlalu apabila gempabumi sekuat 8.4 pada skala Ritcher melanda daerah Bengkulu di Sumatera dan seterusnya menggegarkan Nusantara. Sebahagian daripada kita di Malaysia juga turut dapat merasakan betapa besarnya kekuasaan Allah merencanakan kejadian tersebut, yang seharusnya terus diambil sebagai pengajaran dan iktibar. Alhamdulillah kita masih diberi kehidupan yang selesa dan mewah, malahan dapat menunaikan ibadat puasa dengan baik sekali. Dapat kita berbuka puasa dengan pelbagai pilihan makanan, rotab dan tamar berkualiti tinggi yang mahal, menghilangkan dahaga dengan air zam-zam, merasakan kebahagiaan majlis berbuka bersama anak-anak dan keluarga, dan seterusnya beramai-ramai mengunjungi masjid-masjid untuk bertarawih dalam keselesaan sejuk berhawa dingin.
Namun, bagi saudara-saudara kita di Sumatera, kehidupan mereka terus dalam kesulitan, ketakutan dan trauma berikutan kejadian gempa dan susulan gempa yang berterusan. Harta, rumah, malahan keluarga mereka, sebahagian besarnya telah musnah. Tidak kurang juga yang masih menanggung kesakitan dan kecederaan. Sebahagian besar daripada mereka cuma mampu berteduh dalam kemah-kemah sementara yang serba kekurangan. Tidak ada kemudahan, makanan, keselesaan, apa lagi kemewahan seperti yang kita nikmati. Mereka berbuka puasa hanya dengan air telaga dan biskut kering yang diberikan oleh mereka yang prihatin.
Tidak seperti benjana Tsunami tahun 2004 lalu, bencana kali ini tidak mendapat perhatian dan liputan media dengan baik. Menurut relawan-relawan tempatan di Sumatera, walaupun angka kematian tidak begitu tinggi, namun terlalu banyak bangunan, masjid, sekolah dan rumah-rumah yang musnah. Dengan kejadian gempa-gempa susulan yang dianggarkan akan berterusan dalam tempoh sebulan, kemusnahan akan bertambah banyak lagi dan merumitkan usaha pemulihan.
Menurut mereka lagi, masyarakat sangat memerlukan bantuan kemah, selimut, ubat-ubatan dan makanan. Relawan-relawan tempatan bekerja gigih memberi bantuan perubatan, mengagih makanan, dan seterusnya bersama-sama berbuka puasa dan bertarawih di kemah-kemah sementara. Alhamdulillah, usaha relawan-relawan ini akan sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan tekanan kepada mangsa.
Dalam keghairahan kita meningkatkan amal di bulan Ramadhan yang mulia ini, lebih-lebih lagi menjelang Syawal yang hampir tiba, HALUAN mengajak masyarakat untuk turut menghulurkan sebahagian dari kesenangan dan kemewahan, membantu tetangga kita yang di timpa musibah ini. Menurut Ketua Biro Bantuan Kecemasan dan Misi Kemanusiaan, Tuan Haji Mohd Azhar Idris, HALUAN telahpun menggerakan usaha mengumpul dana bantuan kepada mangsa. Beliau menggesa supaya masyarakat prihatin, terutama mereka yang ingin mengambil peluang beramal di dalam bulan Ramadhan yang penuh kemuliaan dan keberkatan ini, turut bersama-sama segera memberi sumbangan dan bantuan. Beliau juga menegaskan bahawa bantuan segera amat diperlukan bagi meringankan beban mangsa yang tidak mendapat bantuan sebaiknya, lebih-lebih lagi dalam suasana mereka menunaikan ibadah puasa Ramadhan.
Disamping menghulurkan derma, Hj Mohd Azhar juga menyarankan supaya diadakan kutipan derma di masjid dan surau supaya lebih ramai masyarakat, terutama muslimin dan muslimat, untuk turut membantu. HALUAN telah menyediakan flyer ringkas (sila klik di sini untuk dimuat-turun) bagi memudahkan usaha mengiklankan kutipan ini.
Sumbangan boleh disalurkan melalui
Nama Akaun: Tabung Kemanusiaan HALUAN No Akaun: 14-023-01-002571-8 Bank: Bank Islam Malaysia Berhad
Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Tuan Haji Mohd Azhar Idris melalui talian 012 - 601 2 743
Semoga sumbangan anda diberi ganjaran yang berlipat ganda sempena bulan yang mulia ini, lebih-lebih lagi kerana membantu mereka yang ditimpa musibah. Jangan bertangguh, rebutlah peluang untuk memberi mereka makanan untuk berbuka puasa, kerana menurut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawuud,
Daripada Anas bin Malik, bahawa Rasulullah saw telah pergi bertemu Sa'd bin 'Ubadah dengan membawa sebuku roti dan zaitun, kemudiannya beliau (iaitu Sa'd) memakannya. Kemudian Rasulullah saw bersabda; "Kamu memberikan (makanan) orang yang berpuasa berbuka, dan yang memakan makanan kamu itu orang-orang yang mulia, kamu (akan) didoakan kesejahteraan oleh para malaikat".
No comments:
Post a Comment